Tuesday, March 29, 2016

Masalah Sosial (Anomie)

Tidak dapat dinafikan bahawa dunia sekarang mengalami pelbagai jenis masalah. Semua lapisan masyarakat tidak terkecuali dari terkena impaknya. Tidak kira sama ada mereka tergolong di kalangan kelas atasan ataupun bawahan, bahkan doktor, peguam, peniaga-peniaga, kerani malah pekebun sekalipun tidak terlepas daripada mengalami masalah sosial.

Oleh yang demikian ada sesetengah bahagian daripada masyarakat yang mahu menyumbang tenaga untuk menangani masalah sosial ini, dan selebihnya tidak pun peduli. Ini adalah kerana terdapat pecahan masyarakat yang mengalami masalah sosial dan menderita kerananya sedang ada juga pecahan masyarakat yang gembira melihat sesetengah masyarakat terkena masalah sosial.

Masyarakat memberi reaksi berbeza mengenai masalah sosial. Oleh yang demikian, perbincangan tentang bagaimana sesetengah golongan dalam masyarakat Malaysia dianggap lebih berisiko untuk terdedah atau lebih cenderung mengalami masalah sosial berbanding sesetengah golongan lain akan diterangkan dalam penulisan ini.

Para pengkaji sosiologi secara amnya berkongsi pendapat bahawa wujudnya masalah sosial dalam masyarakat di seluruh dunia. Namun, dalam pada masa yang sama mereka tidak sependapat dalam persoalan punca dan kaedah sesuai dalam menyelesaikan masalah sosial.

Seperti contoh, masalah penderaan kanak–kanak yang terjadi di Malaysia. Umumnya pakar pengkaji sosiologi bersetuju bahawa penderaan kanak–kanak sangat menyedihkan dan sepatutnya dibanteras secepat mungkin. Apa yang membezakan mereka adalah perkara yang melibatkan penentuan punca masalah dan kaedah penyelesaian yang sesuai. Ada di antara mereka berpendapat masalah akar adalah kemiskinan ataupun kurang pendapatan.



Walau bagaimanapun ada juga yang berfikir ibu-bapa yang sering mabuk dan tidak bertanggungjawab adalah punca utama masalah ini. Lain–lain pendapat seperti kurang pendidikan, pengangguran dan keretakan rumah tangga turut menuju ke arah penderaan kanak–kanak.



Perbezaan dalam mencari penyelesaian terhadap gejala tersebut juga terjadi di kalangan cerdik pandai ini. Ada di antara mereka menetapkan perlunya undang–undang yang keras bagi mengadili pendera kanak–kanak manakala yang lainnya berpendapat cara yang lembut lebih sesuai seperti mengadakan kaunseling dan sebagainya. Apapun pendapat sama ada dari cerdik pandai mahupun warga amnya masalah sosial adalah isu yang patut dibincangkan dan sepatutnya ia adalah agenda yang wajib diberi penekanan serius.




Monday, March 28, 2016

Sekularisme Di Malaysia


Fahaman sekular adalah merujuk kepada perkataan Latin iaitu 'saeculum' yang bererti generasi atau zaman. Dalam agama Kristian sekular bermaksud agama itu bertentangan dengan gereja. Untuk pengertian yang lebih jauh sekular merujuk kepada sesuatu yang dimiliki atau yang bersangkutan dengan dunia lahir sahaja dan tidak ada kena mengena dengan keabadian. Dalam perbincangan ini sekular bermakna kehidupan yang tidak ada kaitan dengan perkara ghaib, atau perkara agama. 

Dengan begitu sekularisme adalah bermakna satu fahaman yang memisahkan agama dari kehidupan ini, khususnya kehidupan bernegara. Agama adalah masalah peribadi yang tidak mempunyai kaitan dengan negara. Manusia adalah bebas dari asuhan agama dan ketetapan dari Yang Maha Kuasa. Sekularisme menentang sebarang pengaruh agama dan manusia bebas menentukan kepercayaan dan arah haluan hidupnya sendiri.

Teras kepada sekularisme ialah politik yang berasaskan kepada perkauman atau pun kebangsaan, atau apa yang kita panggil nasionalisma. Manakala ekonominya pula berasaskan 'laissez faire' dan falsafah individualisma. Ia kemudiannya merebak ke dalam masyarakat dan menjadi sebahagian dari gaya hidup mereka yang merupakan pemujaan kepada modenisma, materialisma dan pemujaan hawa nafsu.

Menelusuri sekularime di Malaysia, ia sebenarnya datang bersama-sama penjajah Inggeris yang menakluk negara ini dari tangan Belanda. Dalam Perjanjian Pangkor pada 1874 antara Sultan Abdullah (Sultan Perak) dan Sir Andrew Clarke, syarat penting dalam perjanjian itu ialah residen Inggeris akan menasihati Sultan dalam semua hal pentadbiran negeri kecuali mengenai agama Islam dan adat Istiadat Melayu. Dengan sedemikian segala urusan pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang negeri terserah kepada Inggeris yang pastinya mengikut sistem dan acuan mereka yang tidak pernah memikirkan soal agama dan sebagainya. Di sini para Sultan sudah kehilangan hak politik dan pemerintahan dan tidak lagi berkuasa untuk mencegah usaha-usaha menanamkan fahaman sekular yang dibawa oleh Inggeris. Dan akhirnya berlakulah apa yang dinamakan pemisahan politik dari agama, atau agama dari negara.

Bila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos, 1957 dasar pemisahan di antara agama dan negara itu diteruskan dan dikekalkan dalam bentuk konstitusi iaitu dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam Bahagian 1, ceraian 1,2,3 dan 4, soal agama diserahkan kepada Sultan dan Majlis Agama Islam tiap-tiap negeri manakala soal pemerintahan diserahkan kepada wakil rakyat tidak kira samada Islam dan bukan Islam. Akhirya terpisahlah Islam dari pemerintahan kerajaan Tanah Melayu itu.

Sebagai langkah untuk menguatkan lagi sekularisme, penjajah Inggeris merancang dan telah pun berjaya melahirkan segolongan pemimpin di kalangan Melayu Islam sendiri yang telah disekularkan dengan sistem pendidikan. Golongan ini kemudiannya menjadi pentadbir, perancang negara dan pemimpin yang menjadi agen kepada kesinambungan dasar penjajah itu sendiri.

Golongan ini kemudian berjaya memesongkan akidah dan perjuangan masyarakat Islam di Tanah Melayu, dan mereka seterusnya berjaya menanamkan fahaman sekular itu ke dalam tubuh masyarakat Melayu sehingga orang-orang Melayu yang beragama Islam itu turut memuja fahaman kebendaan dan sesuatu yang berlandaskan hawa nafsu.


Bidang yang paling teruk menerima kesan sekularisasi adalah bidang pendidikan. Ini kerana pendidikan adalah merupakan saluran dan alat terpenting untuk mencorakkan haluan hidup manusia itu sendiri. Stamford Raffles adalah seorang pegawai Inggeris yang bertanggungjawab mengemukakan rancangan halus untuk mencapai matlamat tersebut. Melalui pendidikan, beliau merencanakan Singapura sebagai pusat bagi kebangkitan semula peradaban asli kuno dan menyegarkan menerusi penyebaran perluasan pengaruh Inggeris dan faedah-faedah pendidikan dalam kemajuan ekonomi Barat. Beliau telah mengemukakan gagasan pusat Pengajian Asia Tenggara bagi mencapai matlamat ini. Beliau berhasrat untuk melahirkan bangsa-bangsa yang bijaksana dan terpelajar selaku orang suruhan yang jujur kepada sistem pentadbiran penjajah. Ia juga menyarankan supaya pendidikan untuk anak-anak Melayu mestilah menerusi tulisan rumi dalam usaha mengurangkan pengaruh Islam di kalangan orang-orang Melayu.

Selanjutnya perkara yang menjadi perhatian Inggeris ialah bidang ekonomi. Mereka memperkenalkan sistem kapitalis yang mengagungkan riba, jika tidak berasaskan riba, sesuatu sistem itu tidak akan dapat dijalankan. Sistem ini berasaskan dasar 'laissez-faire' yang berteraskan kebebasan individu yang hanya mementingkan keuntungan peribadi. Manusia diajak berlumba-lumba untuk mengumpul harta dan kekayaan di mana akhirnya tindas menindas dan tipu menipu turut berlangsung dan menjadi amalan masyarakat. Akhirnya manusia menjadi haiwan ekonomi, dan mereka pun memilih cabang-cabang Islam yang hanya sesuai dengan jiwa mereka, dan tidak lagi berfikir untuk menegakkan Islam dan melaksanakan jihad seperti yang dikehendakki Islam.

Demikianlah masyarakat Melayu mula membenci orang-orang yang hidup sederhana, yang tidak menyintai dunia, dan yang mengamalkan sikap zuhud. Segala-galanya dinilai dengan wang ringgit. Masalah negara dilihat penyelesaiannya dari sudut ekonomi, dan bukannya dengan cara yang dikehendakki oleh Islam. Kemudian pada dekad-dekad terakhir lapan puluhan lahirlah Dasar Ekonomi Baru, Amanah Saham Nasional, 30 peratus penyertaan bumiputra dalam sektor perusahaan, Loteri Kebajikan Masyarakat, dan berbagai lagi perkara yang menjurus kepada soal kebendaan semata yang kesemuanya bertentangan dengan prinsip Islam.

Aspek politik adalah yang paling utama menerima kesan dari sekularisme. Perlembagaan Malaysia adalah bukti yang paling jelas dalam hal ini. Ia menafikan kekuasaan Allah, Rasulnya dan Al-Quran. Politik dan agama menjadi terpisah. Sedangkan sepertimana yang kita tahu dalam Islam, agama dan politik adalah satu. Tiada bercerai-berai. Hijrahnya Rasulullah (saw) adalah untuk mendirikan negara Islam di Madinah. Ini bermakna Islam dan politik tidak dapat dipisahkan, di mana ia bertentangan sama sekali dengan hakikat perjalanan politik di Malaysia. Politik kita sekarang adalah acuan dari Barat, politik yang mengutamakan nafsu dan kebendaan.

Apabila benda-benda menguasai manusia, maka mereka pun tenggelam dalam suasana hidup yang tidak ada pedoman, semuanya bertuhankan nafsu. Sebab itulah hidup masyarakat kita hari ini sedang menuju ke arah kehancuran, akibat merebaknya pengaruh sekularisme itu, bahkan ianya dibelai pula oleh pemerintah kita, menjadikan orang Islam di Malaysia terlalu individualistik, hidup mementingkan diri, mengejar kemewahan dan sebagainya. Projek-projek membazir sudah menjadi satu pemujaan, semuanya adalah kerana faham kebendaan telah berakar umbi ke dalam jiwa Melayu yang mengaku beragama Islam. Mampukan orang-orang Melayu sorot balik ke belakang? Soalnya terletak kepada orang Melayu sendiri. Namun pengaruh sekularisme bukanlah semudah itu untuk dibuang, apa lagi ia telah tertanam ke dalam jiwa dan dijunjung pula oleh kaum pemerintah. Inilah halangan-halangan utama untuk menyebarkan akidah Islam, apa lagi untuk memberikan kefahaman tentang negara Islam kerana fahaman itu amat bertentangan dengan jiwa Islam yang murni itu.

Dan jika sekiranya kita berminat untuk menegakkan Islam, kita haruslah memerangi fahaman ini yang menjadi halangan utama ke arah merealisasikan cita-cita Islam itu. Bersediakah kita ? Tepuk dada, tanya iman.

Sunday, March 20, 2016

Apa Yang Berlaku Di Turki Pada Saat Ini ?

Melihat pada akhir-akhir ini banyak berlaku letupan di Turki, di Ankara dan Istanbul khususnya. Hari ini pula kita dikejutkan lagi dengan letupan ke-5 yang mengorbankan orang awam di salah sebuah Bandar Utama di Turki, iaitu Istanbul.
Mungkin ramai yang tertanya atas sebab dan matlamat apa usaha jahat ini dilakukan di Turki. Negara yang populasinya 96.50% muslim dan kini mula dilihat sebagai salah satu negara yang diharap akan memimpin umat Islam dalam menangani isu-isu utama yang membelenggu umat Islam yang tertindas pada saat ini.
Ramai juga yang tertanya siapakah dalang kepada letupan berani mati yang seringkali dilakukan di Turki. Nama-nama organisasi seperti PKK, YPG, PYD dan ISIS sering dikaitkan sebagai dalang kepada operasi jahat ini. Ramai yang mengatakan Turki akan menjadi tidak aman sepertimana negara-negara lain yang berhampiran dengannya seperti Syria, Iraq dan Mesir.
Namun, ini kami katakan bahawa situasi di Turki adalah berbeza dengan negara-negara arab yang lain. Apa yang terjadi di Turki bukanlah kerana Revolusi atau ketidakpuasan hati rakyat Turki namun apa yang terjadi sekarang di Turki adalah kerana perasaan hasad dengki dan juga campur tangan kuasa luar yang tidak mahu Turki terus berada dalam keadaan aman dan bergerak lebih maju kehadapan.
Namun sebelum kita berbicara lebih mengenai situasi semasa, kita perlu melihat kepada sejarah dan asal usul punca mengapa perkara ini terjadi dan bagaimanakah permusuhan dan perselisihan antara golongan berhaluan kiri ini bermula di Turki.
Situasi yang berlaku pada hari ini bertitik tolak apabila Penubuhan Republik Turki pada tahun 1922 yang secara langsung menamatkan sistem pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah ini telah menafikan sebarang hak bangsa lain selain Turki.
Semasa era Khilafah Uthmaniyyah, bumi Uthmaniyyah ini tidak hanya didiami oleh orang berbangsa Turki, namun ia adalah sebuah “Devlet-i Aliyye Uthmaniyah” yang mempunyai rakyat yang berbagai bangsa, bahasa dan agama.
Ia adalah sebuah kedaulatan yang menghormati dan meraikan perbezaan bangsa, bahasa dan agama seperti mana yang telah diajarkan oleh junjungan besar kita Rasullullah s.a.w dan juga dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Al-Hujarat : 13 yang berbunyi :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). "

Hal ini sudah diamalkan oleh Daulah Uthmaniyyah sejak ratusan tahun, hatta sejak Daulah ini ditubuhkan pada tahun 1299 lagi.
Namun apabila perjanjian “Sykes-Picot” pada tahun 1916 dilaksanakan semasa perang dunia pertama, kedaulatan yang mempunyai berbeza bangsa, ras kulit, bahasa dan agama ini mula dipecah-pecahkan mengikut kaum dan mulanya tertubuh negara-negara bangsa yang membangkitkan ideologi nasionalism yang sempit.
Umat manusia yang hidup bersama-sama dalam kepelbagaian dan keunikan ini mula dipecah-pecahkan mengikut bangsa dan bahasa mereka. Ruh surah Al-Hujarat ini mula dinafikan dan dilupakan, Umat islam tidak lagi bersatu atas pegangan aqidah, namun bersatu atas pegangan bangsa dan bahasa.
Namun tidak semua bangsa bernasib baik, bangsa seperti Kurdi, Ahiska, Rohingya, Moro, Pattani dan banyak lagi bangsa lain dinafikan hak tanah mereka.
Bangsa-bangsa ini hilang tempat tinggal, hilang hak mereka untuk berbicara dalam bahasa mereka dan menjalani kehidupan harian mereka dalam budaya dan cara hidup mereka sendiri.
Mereka seringkali berada dalam tekanan dan hidup dalam pelarian di tanah mereka sendiri. Bangsa-bangsa yang tidak bernasib baik ini, selepas hidup dalam tekanan pada satu tempoh masa mula meminta dan berjuang untuk mendapatkan wilayah autonomi mereka sendiri sepertimana bangsa lain yang sudah sekian lama menikmati kebebasan ini.
Bangsa-bangsa yang dinafikan hak mereka ini selalunya mendiami kawasan yang jauh dari pembangunan dan juga pendidikan, akses kepada maklumat dan berita semasa, menjadikan mereka terbuka kepada eksploitasi golongan berkepentingan.
Sentimen perkauman dan dendam lama sering dimainkan. Modus operandi seperti ini sudah sekian lama digunakan di tempat-tempat lain yang mengalami situasi yang sama.
Di Turki, masyarakat Turki yang ditindas sekian lama sejak zaman penubuhan republik dieksploitasi kuasa antarabangsa seperti Israel, Amerika dan Rusia.
Ini jelas apabila Amerika masih degil untuk menyenaraikan PKK (Partiya Karkerên Kurdistanê/Parti Buruh Kurdistan) atau proksi mereka di Syria YPG (Yekîneyên Parastina Gel/People Protection Party), PYD (Partiya Yekîtiya Demokrat/Democrate Union Party) sebagai kumpulan pengganas, sungguhpun mereka secara terang-terangan mengaku bahawa mereka bertanggungjawab ke atas serangan-serangan letupan berani mati di Ankara dan Istanbul.
Kedegilan ini bertolak titik dari pendirian Amerika yang mahu menjadikan YPG/PYD/PKK sebagai proksi mereka dalam mengekalkan kuasa mereka dan mengekang pengaruh ISIS di rantau ini.
Campur tangan Amerika jelas dilihat daripada isu Laut Hitam (Black Sea) yang masih belum selesai. Sehingga saat ini, senjata-senjata api masih dibekalkan oleh Amerika kepada puak pengganas ini , atas alasan agar “ melemahkan dan mengalahkan ISIS” seperti dikatakan President Amerika Syarikat, Barrack Obama.
Apa yang dialami oleh kepimpinan dan rakyat Turki pada saat ini adalah serangan ke atas kedaulatannya, bukannya seperti revolusi yang berlaku di Syria, Iraq, Libya ataupun Mesir.
Apa yang Turki perlukan pada saat ini adalah sokongan dari masyarakat dunia dan persepakatan dari masyarkat dunia dalam mengecam tindakan ini. Turki pada saat ini dicemburui pelbagai pihak luar seperti Amerika, Iran, Israel, Russia atas kejayaannya dalam pembangunan dan juga kemajuan yang dicapai Turki akhir-akhir ini.
Turki, salah satu negara majoriti Islam yang berjaya memimpin negara melalui pemilihan demokratik pada saat ini diserang dari setiap sudut, ini dapat dilihat dari liputan media antarabangsa yang bersifat berat sebelah dalam melaporkan berita mengenai Turki dan juga suka mensensasikan berita-berita yang berlaku di Turki agar orang ramai takut untuk melabur di dalam Turki mahupun datang melancong ke Turki.
Apa yang dimahukan oleh kuasa-kuasa luar terutamanya Amerika, Israel, Iran dan negara-negara lain yang mencemburui Turki adalah untuk memusnahkan keamanan yang dikecapi Turki yang kini mula membangun dari setiap sudut.
Sepertimana saranan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, seluruh umat Islam perlu bangun dan memberi sokongan kepada kepimpinan Turki pada saat ini. Sungguhpun ia tidaklah sempurna dan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
Pada saat ini hanya Turki lah satu-satu Negara yang tegas dan bangkit dalam menyuarakan isu-isu umat Islam yang ditindas di seluruh dunia seperti di Somalia, masyarkat Rohingya, Palestin, Syria dan lain-lain.
Kami menyeru anda semua untuk terus menyokong dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada masyarkat Islam di Turki. Jalinkan hubungan dengan umat Islam di Turki dari apa jua suduh, ekonomi, pendidikan, pelaburan, perniagaan dan juga ketenteraan. Turki memerlukan kita semua.


Thursday, March 10, 2016

Adakah Anda Tahu Tentang Definisi Hak Asasi Manusia ?

Apa itu Hak Asasi Manusia ?


Ada pelbagai versi definisi mengenai HAM. Setiap definisi menekankan pada segi-segi tertentu dari HAM. Berikut adalah beberapa definisi HAM yang dapat saya kongsikan. Harap korang tak jemu membacanya. Mana tau ada yang masuk exam ke. Hehehe >.<

(1) Rhoda E. Howard (1948) - ahli sosiologi

Hak asasi manusia merupakan hak setiap insan yang dilahirkan sebagai manusia. Hak asasi manusia adalah hak setiap individu. Isu yang penting dalam hak asasi manusia yang ditekankan oleh Rhoda E. Howard adalah hak persamaan dan ianya lebih memfokuskan kepada individu.



(2) Henkin (1989) - ahli politik

Hak asasi manusia ada unsur keadilan dan bersifat demokrasi. Beliau mengaitkan hak individu dengan hak masyarakat. Beliau lebih memfokuskan kepada undang-undang yang melindungi individu dan kumpulan daripada penindasan kerajaan/pemerintah. Secara ringkasnya, menurut beliau, hak asasi manusia mesti ada undang-undang untuk melindungi individu dan masyarakat daripada ditindas.



(3) Buergenthal (1988) - ahli undang-undang dan sarjana

Hak asasi manusia dengan merujuk kepada undang-undang yang mengawal hak asasi manusia. Buergenthal menyatakan bahawa hak asasi manusia mempunyai unsur-unsur atau sifat-sifat fundamental. Menurut beliau hak asasi manusia mesti didokumenkan iaitu secara simpanan dan secara bertulis. Hak asasi manusia dari pandangan beliau adalah mesti mempunyai unsur perlindungan daripada mahkamah dan institusi keadilan.


________________________________________________________________


Masalah yang timbul


Walaubagaimanapun, terdapat beberapa masalah daripada setiap pandangan tersebut. Masalah dari aspek sosiologi, dapat dilihat apabila ianya berbentuk individu. Jadi apa sekalipun yang hendak dilakukan oleh individu diberikan kebebasan. Namun, dari aspek politik pula, masalah yang timbul adalah disebabkan demokrasi. Suara majoriti yang menentukan sesuatu isu/pandangan, oleh itu pandangan lain tidak akan diambil kira. Masalah seterusnya yang dapat dilihat adalah dari aspek undang-undang. Hak asasi manusia dilindungi oleh mahkamah dan institusi keadilan. Oleh itu segala keputusan bergantung kepada suara mahkamah. Masalah yang timbul dari aspek ini adalah disebabkan perbezaan pandangan mahkamah dan hakim.

Jadi, setakat ini sahaja perkongsian saya tentang definisi hak asasi manusia ini. Semoga apa yang saya kongsi ini dapat kawan-kawan gunakan untuk keperluan peperiksaan akhir nanti. Hehehe :)


Tuesday, March 8, 2016

Wajah (Bersamamu)


Assalamualaikum and hye !

Hari ini saya nak share pendapat saya tentang lirik lagu Wajah yang dinyanyikan oleh Jaclyn Victor. Apa, korang tak kenal siapa dia Jaclyn Victor ? Tipu aaa korang tak kenal. Kalau tak kenal jugak, mintak tolong dengan Encik Google ea. Hehehe. Biasanya lagu ni dimainkan dalam rancangan Bersamamu di TV3. 



Sumber : Encik Youtube

Tapi, sebelum itu, marilah kita sama-sama mendengar lagu ni sambil menghayati dulu lirik-liriknya. 

Jeng jeng jeng....

Berbumbungkan angkasa kelabu
Lantainya bumi retak seribu
Setiap langkah perjalananmu beronak berliku
Betapa berat mata memandang
Berat bahu menggalas bebannya

Belum sempat menitis ke pipi
Tangisan kering sendiri

Berkali tersungkur
Pandanganmu kabur
Namun azam meneruskan hidup tak pernah
luntur
Engkaulah perwira di medan derita
Merentasi ranjau kehidupan dengan harapan

Luahan rasa derita jiwa
Pada wajah tiada rahsia
Menunggu malang berganti tuah
Usah kau berputus asa


Bila kita dengar lagu ini, automatik kita akan rasa sedih kan ? Sebak pon ada. Mungkin ada yang menangis bila dengar lagu ni. Lembut sangat jiwanya sampai boleh menangis. Hehe

Jadi, apa yang saya faham tentang maksud yang nak disampaikan melalui lagu Wajah ini ialah tidak semua orang bernasib baik. Nasib kita sebagai insan tidak sama dengan insan yang lain. Hakikatnya, semuanya telah ditetapkan oleh Tuhan sebelum kita dilahirkan lagi. Kita hanya insan yang lemah yang tidak boleh melawan takdir Tuhan. 

Nyanyian oleh Jaclyn Victor mengingatkan kita bahawa tidak kira betapa malangnya kita, akan sentiasa ada orang lain yang lebih malang daripada kita. Jadi, bersyukurlah dengan apa yang ada.

Dalam konteks diri saya sebagai seorang pelajar, sudah pasti ada turun naiknya dalam mencapai kejayaan. Boleh dikatakan semasa saya di sekolah menengah dulu, saya dikategorikan dalam kalangan pelajar cemerlang. Tapi, kita sebenarnya tidak selalunya akan berada di atas, jatuh bangun kita dapat digambarkan ibarat roda yang berputar. Oleh itu, apa yang saya dapat belajar dari kejatuhan saya ni, kita mestilah tidak mudah berputus asa. Namun dalam hidup ini kita ada pilihan sama ada untuk teruskan kehidupan atau berada di tampuk yang sama. Kerana itu manusia mempunyai akal yang tidak dimiliki oleh makhluk yang lain. Maka, kita sebagai manusia perlu sentiasa berusaha dan berubah ke arah yang lebih baik. 

Sekian saja pendapat dari saya. Terima kasih :)